perjalanan hidup Saiyidatina Fatimah Az Zahra
Inilah perjalanan hidup Saiyidatina Fatimah Az Zahra yang telah dididik di dalam madrasah yang dipenuhi dengan cahaya. Kami akan memetik beberapa pengajaran yang menenangkan hati dan mendidik jiwa. Kami memilih tiga pengajaran yang boleh menerangkan kehidupan umat Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم. Maka dengarkan dengan teliti dan berikan sepenuh perhatian, kerana setiap pengajaran perlu disebarkan kepada yang lain, seperti firman Allah :
وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْۚ
Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya.
-Surah Al-Hashr, Ayah 7
Pengajaran pertama daripada perjalanan hidup Saiyidatina Fatimah Az Zahra adalah menjadikan contoh dan mengikut sifatnya yang terpuji dan akhlaknya yang elok. Salah satu sifatnya yang akan menyelamatkan hati dan menjaga lidah adalah tidak berkata perkara selain kebenaran dan tidak bertutur melainkan dengan penuh kejujuran. Saiyidatina Fatimah Az Zahra menjaga lidahnya daripada penyakit-penyakit yang keji, tidak pernah berbohong, mengumpat mahupun membuat finah. Beliau sentiasa jujur di dalam percakapan dan perbuatannya sehingga Saiyidatina Aisyah pernah berkata mengenai kejujurannya: "Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih jujur daripada Fatimah selain bapanya."
Bagaimanakah Saiyidatina Fatimah tidak berakhlak sebegitu, sedangkan beliau mempelajarinya daripada bapanya yang memiliki sebaik-baik akhlak dan adab seperti firman Allah ;
۞أَفَمَن يَعۡلَمُ أَنَّمَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ مِن رَّبِّكَ ٱلۡحَقُّ كَمَنۡ هُوَ أَعۡمَىٰٓۚ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَٰبِ
Maka adakah orang yang mengetahui bahawa Al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu (wahai Muhammad) perkara yang benar, sama dengan orang yang buta matahatinya? Sesungguhnya orang-orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.
-Surah Ar-Ra'd, Ayah 19
Pengajaran kedua ditujukan kepada para ibu bapa. Hendaklah memerhatikan keadaan anak-anak mereka dan membimbing mereka untuk melakukan amal soleh. Kita mengambil contoh ditunjukkan Saiyidina Ali dan Saiyidatina Fatimah Az Zahra. Mereka sangat berpegang teguh kepada agama dan mereka gigih berdakwah kepada orang lain.
Ketika Rasulullah صلى الله عليه وسلم berjalan di hadapan pintu rumah Saiyidatina Fatimah Az Zahra untuk menunaikan solat Subuh, Baginda صلى الله عليه وسلم akan berkata: " Solat wahai ahli bait." Firman Allah ;
" Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu wahai " Ahlul Bait" dan hendak menyucikan kamu sesuci-sucinya (dari segala perkara yang keji)."
-Al Ahzab :33-
Sememangnya Rasulullah صلى الله عليه وسلم merupakan contoh yang terbaik
di kalangan keluarganya di dalam mengajak kepada melakukan amal soleh dan ketaatan. Maka wahai ibu bapa, bertaqwalah kepada Allah di dalam mendidik anak-anak. Ajak dan didiklah mereka untuk melakukan amal soleh sehingga mereka menjadi terbiasa dengannya, kerana seseorang akan membesar dengan apa yang telah dibiasakan oleh ibu bapanya. Dengan itu, kamu akan hidup didalam kebahagiaan dan bukan di dalam kegelapan. Allah berfirman;
ثَوَابٗا مِّنۡ عِندِ ٱللَّهِۚ وَٱللَّهُ عِندَهُۥ حُسۡنُ ٱلثَّوَابِ
Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)".
-Surah Aal-E-Imran, Ayah 195
Pengajaran ketiga ditujukan kepada wanita-wanita mukmin. Hendaklah kamu berhati-hati dengan ajakan orang-orang yang tidak bertanggungjawab terhadap akhlak dan agama. Mereka menyuruh wanita menanggalkan hijab dan tidak mentaati agama serta tidak memelihara adab. Maka hendaklah kamu dengar dengan teliti bersama hati yang penuh kesedaran akan persoalan yang di ajukan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم kepada puterinya, " Apakah ciri yang terbaik
bagi wanita?" Puterinya menjawa, " Yang tidak melihat dan dilihat oleh lelaki bukan mahram."
Maka Rasulullah صلى الله عليه وسلم sangat gembira dengan jawapan itu, lalu dipeluknya Saiyidatina Fatimah Az Zahra dan berkata: " Sesungguhnya Fatimah sebahagian daripadaku."
Saiyidatina Fatimah Az Zahra telah memberi garis pandu kepada wanita mukmin agar mereka tidak terpesona dan tidak dipesonakan. Ambillah pedoman dan ikutlah tauladan yang telah ditunjukkan, nescaya kamu akan memperolehi sebaik-baik ganjaran seperti firman Allah :
ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ طُوبَىٰ لَهُمۡ وَحُسۡنُ مَـَٔابٖ
Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, beroleh kebahagiaan yang amat mengembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya.
-Surah Ar-Ra'd, Ayah 29
Maka inilah sebahagian daripada kisah hidup Az Zahra dan pengajaran-pengajaran yang sangat berguna serta mendalam yang dapat diperolehi daripada sejarah kehidupannya.
Dengan itu, telah sempurna "Iqdul Lul" sejarah kehidupan Saiyidatina Fatimah Az Zahra Al Bathul. Segala perkara yang benar datang daripada Allah. Segala puji dan syukur bagiNya. Aku bertaubat dan meminta ampun kepada Allah daripada segala kesalahan yang datang dari diriku. Terkadang manusia melakukan kesalahan serta kebenaran. Allah Maha Pengampun dan Maha memberi ganjaran. Dan tidak ada taufiq bagiku melainkan dengan pertolongan Allah, hanya kepadaNya aku berserah dan hanya kepadaNya aku kembali.
Posting Komentar untuk "perjalanan hidup Saiyidatina Fatimah Az Zahra "